“Rol, ade kelas ke? Mak nak gi KL ni, adek opah yang bongsu meninggal dunia”, bunyi ayat ibuku di dalam satu sistem pesanan ringkas atau lebih mesra dikenali sebagai SMS.
“Adek opah yang mana satu, mak?”
“Yang rumah dia dekat dengan arwah tok hitam tu.”
“Innalillah hi wa inna ilaihi raji’un…. Semoga dia sentiasa berada dalam rahmat dan redha Allah, amiinn…”
Al-ankabut,29: 57. Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.
Sesungguhnya setiap yang bernyawa PASTI akan mati. Samada di dalam nikmat iman dan islam, mahupun di dalam ‘Islam sekadar nama’, mahupun di dalam kekufuran.
Semua manusia bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan di dunia ini.
Sedih memikirkan tentang mati… Mahu mengalir rasanya airmata ini…
Aku cukup degil mematuhi perintahMu, aku cukup leka dengan ujian duniaMu, semoga aku tergolong dalam golongan orang yang beringat di atas peringatanMu ini. Terima kasih Tuhan, kerana mengingatkan. Sesungguhnya kematian seorang manusia adalah untuk mengingatkan manusia lain tentang hakikat kewujudan kita-yang tidak lama.
As-shaffat, 37:16. Apakah apabila kami telah mati dan telah menjadi tanah serta menjadi tulang belulang, apakah benar-benar kami akan dibangkitkan (kembali)?
Teringat satu analogi yang diberikan oleh seorang ustaz ketika berada di tingkatan dua,
“Allah Maha Kuasa. Kita takdak kuasa. Allah nak cipta kita senang ja, tak perlu mintak tolong sapa-sapa. Jadi untuk mematikan dan menghidupkan kita semula selepas mati, Allah tidak perlu bersusah payah! Bayangkan, seorang ahli sains, yang mencipta kereta. Pada zamannya tiada manusia yang pernah melihat dan mengetahui tentang kereta, tetapi dia berjaya menciptanya. Dan apabila kereta itu rosak, remuk, tiada stereng, tiada tayar, tiada enjin, tiada macam-macam, diberikan kepadanya untuk dibaiki, adakah dia mampu? Daripada tiada pun boleh dijadikannya sampai ada, inikan pula dah ada, cuma rosak???!!”
Analogi itu akan tetap ku ingat, menjadi pedoman kepada diri dan sesiapa yang mencari, hakikat tuhan dan hakikat diri.
Berimanlah bahawa kita akan dihidupkan semula dan ditanya tentang amalan yang telah kita lakukan di dunia. Dunia hanya persinggahan, untuk dikumpul bekalan, supaya menjadi kesenangan, di padang mahsyar medan pertanyaan.
Ya Allah, lindungilah daku dari azab Jahannam, lindungilah daku dari azab kubur, lindungilah daku dari kejahatan fitnah dunia dan selepasnya, dan lindungilah daku dari fitnah ad-dajjal laknatullah…..
Amiiiiin ya Rabbi….








