Tahun keempat sudah mencecah ke satu perempat dari keseluruhannya. Semua orang sedang berusaha sedaya mungkin untuk cuba menyesuaikan diri, membahagikan masa, menenangkan jiwa, semata-mata kerana tahap kesibukan yang tinggi serta tahap ‘stress threshold’ yang sudah hampir mencapai maksimum.
Rakan-rakan yang dahulunya aktif kini mula menyendiri.
Rakan-rakan yang dahulunya ceria kini mula mengawal ‘benci’.
Rakan-rakan yang dahulunya pemaaf kini mula terasa hati.
Rakan-rakan yang dahulunya ‘lasak’ kini mula berdiam diri melayan emosi.
“Eh, kenapa dia tadi? Tak pernah aku tengok dia macam tu?”, tanya seorang junior.
“Alah, KKN…”, jawapan bersahaja mengisi ruang bicara.
Dengan urusan Minor Thesis yang masih belum nampak hujung pangkalnya. Belum tentu tajuk dan dosen pembimbingnya, kami pelajar tahun keempat seolah-olah sibuk tak berkesudahan. Baik sibuk luaran mahupun dalaman. Otak berkerja sehari-harian!
Namun saya masih ingat kata-kata seorang teman sebelum kami melangkah ke tahun keempat.
“Kita datang sini kitalah yang membuat dan mengisi program. Semenjak dari tahun pertama tiap-tiap tahun kitalah yang memenuhkan dewan. Tahun depan kita buat rekod jadi angkatan tahun keempat pertama yang masih aktif walaupun sibuk dengan belajar dan pelbagai urusan.”
Sebagai orang yang aktif berpersatuan, sekarang kata-katanya itu diuji. Mampukah dirimu bertahan wahai teman? Jangan jadikan diri dan rakan-rakan, mangsa semangat waja tanpa pengendalian.

Filem pendek pertama arahan Dr.Radzi - Poster edited by zulhazwan
~~~Sempat lagi menghantar penyertaan untuk program-program yang dianjurkan. Bukan penyertaan ‘cukup syarat’, tapi penyertaan yang memberikan saingan dan menang pertandingan! Kerana nabi berpesan dengan pesan IHSAN, membuat sesuatu haruslah bersungguh-sungguh. Bak kata orang tua-tua, “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!”. Jadi alang-alang bertanding biar sampai menang! Tak kiralah sesibuk mana pun.~~~
Lain pula dengan kata-kata seorang sahabat seperjuangan.
“Masa kita di tahun pertama dahulu tiada apa pun program rohani yang mengisi jiwa. Mungkin ada sekali dua bacaan yasin dan tahlil dijalankan di surau permata. Itupun sekadar ingin mengisi ‘laporan aktiviti tahunan’ ketika AGM menjelang tiba.
Program-program mengenal tuhan dikongsikan. Aktiviti-aktiviti mengawal pergaulan diusulkan. Bermula dari idea dan gagasan, lantas diikuti kerja yang berterusan, sehinggalah ke saat ini setelah dilantik menjadi antara orang yang ‘mengawal keadaan’.
Apakah hasil yang telah kita dapatkan?
Adakah perubahan yang telah kita bawakan?
Ataupun hanya mengubah suasana agar ‘konon-kononnya’ menjadi pemimpin yang berlatar belakangkan ilmu agama, namun tidak nampak perbezaannya?
Apakah keputusannya?
Tahun keempat ini adalah kemuncak ujian perjuangan. Samada akan tetap BERTERUSAN, ataupun GUGUR DI TENGAH JALAN”
Benar, tahun keempat adalah puncak ujian!
Ujian mengurus kehidupan, agar tetap dengan ‘ikrar’ dahulu dan pendirian.
Ujian mengurus amalan, agar tetap dengan prinsip walaupun penuh rintangan.
Manusia AKAN DIUJI! Dan itulah tujuannya kita DISINI!
-Dr.Radzi’s Weblog, Bandung 5/11/2009-
(Cenderahati dari dr.radzi kepada pembaca blog ini…Filem Pendek – AKUdanKAMU)


