Sebuah Kisah di Emergency


Enam hari berlalu dari hari pertama menjejakkan kaki ke Kota Garut. Sebuah kota kecil di Jawa Barat yang terkenal dengan ‘macam-macam’ tempat untuk dilawat. Baik yang haram mahupun yang halal dilawati. Kata orang-orang disini, orang luar suka bertandang dan bercuti di sini.

Hari ini aku tinggal berdua. Empat rakan sejawat yang lain pulang ke Bandung kerana masing-masing mempunyai tugas dan perkara yang harus diselesaikan. Dan pukul 4 petang, aku harus lapor jaga (oncall a.k.a. standby) di Ruang Emergency sampai esok pagi.

 

Bismillah…

Langkah dimulakan dengan penuh hati-hati dan semangat membara. Almaklum, ini hari pertama aku jaga setelah lulus semua peperiksaan dan secara tidak rasminya menjadi doctor tidak bertauliah yang bekerja sendiri. (Sendiri dalam erti kata diberikan kebebasan untuk bertindak sendiri tanpa arahan dan suruhan dari senior doctor semata-mata). Sangat teruja. Namun takut dan risau juga melanda, dek kerana ilmu dan pengalaman yang dirasakan masih cukup sedikit di dalam dada.

“Punten Dok, saya doctor magang yang akan jaga malam ini Dok.”
Doktor umum yang bertanggungjawab pada petang itu ‘menyambut’ dengan kurang mesra pada mulanya. Tetapi aku berfikiran positif dan bersangka baik dia hanya tidak senyum kerana dia mungkin malu untuk senyum dengan lelaki bukan muhrim. Jadi biarkanlah ‘sesi perkenalan’ itu sampai situ sahaja. Aku mula menyibukkan diri.

Seorang pesakit datang ke Emergency dengan keluhan sesak nafas dan batuk. Aku segera mendatangi pesakit tersebut dan mula bertanya-tanya tentang penyakitnya. Pemeriksaan dilakukan satu demi satu. Tiba-tiba doctor yang bertugas tadi datang dan mengambil status (medical record) patient tersebut lalu meneruskan pertanyaan kepada keluarga pesakit.

Aku bersangka baik.

Mungkin dia mahu menguruskan pesakit ini. Baiklah, aku mengalah dan menyerahkan pesakit ini kepadanya. Dia yang menulis dari awal sampai habis. Dari anamnesis sampai ke pengubatan dan penatalakasanaan pesakit.

COPD

“Diagnosa pasien tadi apa ya Dok?”, aku menegur mencuba berbaik dengan doctor yang bertugas.

“COPD”, jawabnya ringkas.
“Tapi dia ada gejala (symptom)penyakit  jantung Dok. Mungkin juga gejala Heart Failure”,tambahku lagi.

“Iya”, sambil matanya tetap memandang ke bawah menulis di medical record pesakit tadi.

Mungkin doctor ini tidak suka aku banyak bertanya dan memberikan pandangan. Pesakit selepas ini biar aku yang uruskan sendiri dari awal sampai habis, sampai penentuan diagnosis dan pemberian ubat. Aku berazam untuk menguji kemahiran berfikir dan penentuan diagnosis diriku sendiri. Aku harus mampu bertindak sebagai doctor yang cerdas, bertindak dengan benar dan professional.

Pesakit seterusnya datang dengan keluhan sesak juga. Tapi kali ini kanak-kanak perempuan kecil berumur 10 tahun. Setelah ditanya-tanya dan dilakukan pemeriksaan, minda kecilku mengatakan ini adalah pesakit Asthma. Tekanan darah dan nadi diperiksa. Belum sempat aku menulis di status a.k.a. medical record pesakit tersebut, datang doctor perempuan tadi dan mengambil alih segala apa yang telah aku lakukan. Diulangnya semula sekali lagi apa yang telah aku lakukan, ditanya-tanya dan dilakukakan pemeriksaan pada pesakit itu. Aku mula merasa tidak selesa dengan tindakan doctor itu.

Apa yang cuba dia buktikan? Yang aku tidak kompeten menjadi seorang doctor?  Yang aku tidak layak menjadi junior nya melakukan tindakan medis pada pesakit? Bahawa segala yang aku lakukan tidak boleh dipercayai? Atau dia mahu menjadi satu-satunya doctor yang bertugas di mala mini?

Di ruang Emergency ada tiga bahagian besar, pesakit yang datang terbahagi kepada pesakit Internal, Paediatrics, dan Surgical. Apakah mampu dia mahu menguruskan semuanya? Kenapa tamak sangat? Hmm….

Perasaan malas dan tidak selesa mula timbul, aku duduk berehat di kerusi tempat pelajar Koas (pelajar medicine yang sedang practical). Mereka berenam. Dua di bahagian Internal, dua Paediatrics, dan dua lagi di Surgical. Aku berkenalan dan berbicara rancak dengan mereka selayaknya orang Indonesia. Jika tidak mengaku orang Malaysia, pasti mereka tidak tahu aku asal dari Malaysia.

Alhamdulillah enam tahun disini aku mampu berbicara bahasa Indonesia dengan baik dan memahami Bahasa Sunda (bahasa daerah) seadanya. Datang pesakit ketiga, aku cuba lagi untuk menagananinya. Doctor tadi kelihatan sibuk dengan pesakit-pesakit lain yang memang sudah ada lama di Emergency sejak pagi. Tiba-tiba doctor itu masuk ke ruang berehat pelajar-pelajar tadi, dan memarahi mereka.

“Kalian kenapa di sini? Kan ada pasien diluar tu?”

Maafkan aku ya Allah jika aku bersangka buruk, tetapi aku merasakan doctor itu tidak mahu aku menguruskan pesakit yang datang sebaliknya memaksa pelajar-pelajarnya menggantikan aku mengurus pesakit. Astaghfirullah…

Mujur pukul 9 doktor itu selesai tugas dan diganti dengan doctor yang lain. Datang seorang doctor lelaki yang berbadan sedikit gempal menghampiriku.

“Kamu magang bagian apa? Udah masuk bagian Interna belum?”, sapa beliau sungguh mesra.
“Belum Dok, ini magang yang pertama. Magang anak. Magang Interna nanti di Sukabumi.” Jawabku dengan senyuman juga.

“Oh begitu. Baiklah, kalau ada pasien, kamu ambil aja yah? Kalau ada apa-apa baru kasitau ke saya. Boleh kan?”

‘Tigaratusenampuluhdarjah’ perbezaan beliau dengan doctor tadi. Alhamdulillah, ini adalah kesempatan untuk aku dapat banyak belajar malam ini InsyaAlah.

Pesakit-pesakit yang datang dapat aku uruskan dari awal sampai ke pengubatan. Dr Krishna sangat membantuku dalam proses aku menambah pengalaman dan ilmu perubatan. Pengalamannya dikongsi bersama dengan penuh semangat. Seronok mendengar cerita dan tunjuk ajar beliau.

“Besok kamu jangan pulang awal ya? Tolong saya sampai jam 7 ya?”, pesan beliau mengingat banyak pelajar Koas yang kabur (=cabut lari hilang tanpa dengar khabar berita) setelah pukul 2-3 pagi.

“InsyaAllah…”

Setelah selesai solat Subuh, tiba-tiba seorang nurse datang kepadaku dan memberitahu bahawa ada seorang pesakit yang tiba-tiba tidak bernafas.

“Dimana Teh?”
(*Teh adalah panggilan untuk perempuan yang lebih tua)
“Disana Dok”

Disebelah pesakit sudah ada perawat yang cuba memberikan bantuan pernafasan. Setibanya aku disebelahnya, beliau meminta aku memberikan bantuan kompresi dada a.k.a. CPR. Pesakit sudah tidak mempunyai nadi carotid sebelum aku datang lagi. Dan percubaanku untuk memberikan gerak jantung dan nafas spontan gagal buat pertama kali.

“Coba diperiksa aja Dok”, kata perawat yang berada di sebelahku.

Aku cuba menenangkan diri di tengah-tengah kerumunan keluarga dan pesakit lain yang sedang melihat. Cuba berfikir dan membuat keputusan yang paling benar. Jika aku melakukan pemeriksaan sekarang, dan ternyata tidak ada tanda-tanda masih hidup, pasti perawat di sebelahku akan terus memberitahu kepada keluarga pesakit sudah mati. Tidak boleh jadi, aku tidak boleh terburu-buru, siapa tahu masih boleh diselamatkan. CPR ku teruskan lagi untuk beberapa kali.

Namun setelah itu aku melakukan pemeriksaan, tidak ada perubahan dan tanda-tanda perbaikan pada pesakit. Dengan berat hati, aku harus menyatakan bahawa pesakit itu telah tidak ada lagi.

Allahu allah… Hanya Allah yang tahu betapa beratnya beban dan tekanan yang aku tanggung waktu itu untuk memberitahu kepada keluarga pesakit. Tidak pernah aku menanggung beban tanggungjawab seberat ini…

Aku harus membuat keputusan dan menyatakan pengesahan kematian.

Aku harus menulis surat pengesahan kematian.

Aku harus menjadi doctor yang menurunkan tandatangan tanda pengesahan kematian.

Astaghfirullah…

Tergamam dan terkedu. Aku mengadu pada mak dan ayahku. Ayah seperti biasa menenangkanku dengan kata-kata motivasi dan nasihat pengalaman-pengalamannya. Mak tetap memujuk mesra anak lelakinya yang satu ini.

“Jangan bersedih, bukan kau yang pegang nyawa manusia!”, kata-kata dan pesan mak yang sungguh membuat airmataku mengalir…

INNALILLAHI WAIINNA ILAIHI RAJI’UN
Tiada apa yang mampu aku ungkapkan selain bertasbih mengingat kebesaran Allah SWT, dan berdoa sebanyak-banyaknya agar aku menjadi doctor yang baik dan cemerlang.

“YA ALLAH, FAQQIHKANLAH AKU DALAM BIDANG PERUBATAN, BiMBING DAN PERBAIKILAH SEGALA URUSAN DAN TINDAKANKU. AMIIN YA RABBAL ‘ALAMIN”

Published in: on April 28, 2012 at 4:38 pm  Comments (4)  

The URI to TrackBack this entry is: https://drrazi.wordpress.com/2012/04/28/sebuah-kisah-di-emergency/trackback/

RSS feed for comments on this post.

4 KomenTinggalkan komen

  1. “Jangan bersedih, bukan kau yang pegang nyawa manusia!”-nice words from a mom

    be a gud doctor…I know u will:)

  2. serius..kalau aku kat tempat kau, mesti rasa perasaan sama..berat beban nak bagitau keluarga beliau..doktor tugas yang mulia..walau banyak kisah doktor-doktor kurang bertanggungjawab yang aku dengar..tapi apapun tugas yang mendepani harga hidup manusia ini memang mencabar dan menuntut kesabaran..teruslah dan jangan berhenti menjadi doktor yang dedikasi..

  3. Tetep semangat Oom …, semoga cita dan harapannya tercapai yaaa. Aamiin.
    Omong-omong, bukan 360 derajat Oom, tapi 180 derajat, kalau gak percaya coba aja puter sendiri. ^_^

  4. Salam bang sy nk tnye sket. sy skrg dlm tgktn 5 n brmnt nk jd doktor. Tp sy susah nk bljr kalau kt rumah sbb ade internet smua kan… Dulu, cmne abg belajar yea? Sy dh risau skrg ni sbb dh bulan 6 dh…


Tinggalkan Jawapan kepada warx.hensem Batal balasan