“Sambil Mandi Minum Air”


Kata orang tua-tua, “sambil menyelam minum air”. Pepatah ini bermaksud sambil melakukan sesuatu pekerjaan, lakukan juga pekerjaan lain dalam masa yang sama. Tapi tajuk post kali ini adalah “sambil mandi minum air”, maaf orang tua-tua kerana telah menukar kata pepatah lama. Hehe…

Berbalik pada tajuk, waktu saya di Sydney beberapa hari yang lalu kami boleh minum air sambil mandi sebab air disana dah memang bersih. Kata kawan saya, di Jepun juga begitu. Wah, kalau air paip di Indonesia ataupun Malaysia yang diminum tanpa dimasak terlebih dahulu memang masuk sepital la nampak gayanya!! Peace! =p

“Kenapa pergi Sydney?”
“Macam mana boleh dapat pergi?”
“Semua perbelanjaan ditanggung ke?”
“Tak aci la macam ini korang dapat pergi jalan-jalan Australia!!!”
“Korang enjoy pakai duit rakyat!!!” 

Ok sebelum semua pertanyaan dijawab, marilah kita sama-sama berbaik sangka dan tidak berfikiran negatif. Sungguh, bersangka buruk itu kebanyakannya akan membawa kepada dosa.

Alhamdulillah kami, Majlis Tertinggi dan Exco-Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) telah dipilih oleh Allah sekaligus diberi peluang dan kesempatan untuk menjejakkan kaki ke negara orang, Australia. Jujurnya, ini negara kedua setelah Indonesia yang pernah saya pergi. Allah mengizinkan saya untuk merantau dan belajar tentang manusia dan bumi ciptaan Tuhan di tempat lain. Berjalanlah di bumi ini dan anda akan dapat banyak pengalaman!

Perjalanan ke sana adalah dalam rangka Program Kepimpinan Pelajar. Di sana dikumpulkan pelajar Malaysia dari tiga buah negara, yakni yang belajar di Australia, Malaysia, dan Indonesia. Kebetulan kami wakil dari Indonesia dan terus terang saya katakan, pertemuan ini sangat bermanfaat! Pemimpin-pemimpin pelajar dari tiga tempat ini berkongsi pendapat dan memberikan idea tentang tempat masing-masing dan isu-isu berat dalam negara. Dalam majoriti mahasiswa sibuk ber’facebook’ dan berfoya-foya di luar sana, ada juga sebilangan mahasiswa yang peduli tentang dunia sekitarnya yang amat bersungguh-sungguh berusaha untuk kepentingan dunia masa akan datang. Berusaha untuk kebaikan dan keharmonian masa depan.

Sambil menyelam minum air

Di sela-sela masa berada di Australia, jalan-jalan cari makan dan cari pengalaman sangat amat menyeronokkan! (exaggerate, hehe.=p)
Melihat pemandangan yang indah, budaya dan sikap orang-orang tempatan, cuaca, macam-macam lagi. Banyak yang perlu kita belajar dari orang lain. Banyak yang perlu kita belajar tentang budaya dan sikap orang lain. Banyak yang perlu kita belajar dari setiap keunikan ciptaan Tuhan di bumi ini. Alhamdulillah, bersyukurlah kita masih waras untuk berfikir dan mengambil manfaat dari setiap yang kita lalui. Selebihnya, biar gambar-gambar yang bercerita. (nak letak di FB/blog banyak-banyak takut orang kata kami enjoy lebih dari berprogram, huhu..)

“First Time”

“Sambil mandi minum air”

p/s : Ini post pertama kali yang tidak ditulis di Microsoft Word dulu. Tulisan yang terus ditaip dan dipost. Jadi maaf kalau ada kesalahan tatabahasa, hehe.. InsyaAllah kalau ada kesempatan akan saya kongsikan lagi gambar-gambar di Sydney buat jadi motivasi rakan-rakan semua untuk merantau ke luar negara! (^^,)v

Published in: on Mei 17, 2012 at 5:18 pm  Tinggalkan Komen  

I’M twentySIX …AND I KNOW IT! (^^,)


“Happy Birthday!”
“Selamat Hari Lahir!”
“Selamat Hari jadi!”

“Selamat Ulangtahun Kelahiran!”
“Met Ultah!”
“HB!”

Berbagai ucapan diberikan sempena birthday saya yang ke 26 kali ini. Ya, 26. Nak kena ulang lagi? Dua puluh enam. So what?! (Tetiba emo plak, hahaha, kidding2~)

"So Sweet..." --- dari budak-budak Laman Pria Idaman

Alhamdulillah, diberikan umur sampai ke hari ini, selama 26 tahun hidup menumpang di bumi tuhan. Syukur Alhamdulillah. Telah banyak dosa dan kesilapan yang dilakukan sepanjang hidup ini, tetapi Allah tetap bagi peluang dan kesempatan untuk bernafas, sehat, handsome, macho dan masih bergaya lagi, Alhamdulillah….Huhu.=p

Ada orang yang terlalu menunggu-nunggu ‘sambutan hari kelahiran’ mereka. Bila sampai masanya, dan orang lain tidak menyambutnya a.k.a. terlupa atau tidak mengucapkan “Happy Birthday” kepada mereka, mereka mula merasa sedih dan tidak dipedulikan…

“Orang tak sayang aku…”
“Orang tak ingat kat aku…”
“Orang takde yang peduli dengan aku..”

“I’m a loner in this world, nobody loves me..”

Tetapi ada juga jenis yang tidak menghiraukan ‘hari kelahiran’ mereka ini. Sampai terlupa bahawa itu adalah hari dimana mereka mula lahir ke dunia. Dan lebih parah dari itu, tidak menghargai orang yang mengingati/memberi ucapan selamat kepada mereka.

Diantara keduanya, terdapat satu ‘norma manusiawi’ yang ingin saya bincangkan disini.

PERTAMA, kepada golongan yang sudah terbiasa menyambut birthday dan merasa kehilangan yang amat sangat jika birthday tidak disambut pada setiap tahun. Sebagai orang Islam, Allah telah menetapkan dua hari gembira untuk kita. Hari untuk kita merasa bahagia, bersuka-suka, hari untuk kita menyambutnya dengan sebaik-baiknya… Itulah Hari Raya.

Cukuplah dua hari itu untuk kita sambut semahunya, janganlah bersedih jika ‘birthday’ kita tak dihargai dan diingati oleh rakan-rakan dan keluarga. Kenapa perlu sedih dan ‘memandang serius’ perkara yang ‘biasa-biasa’? Birthday itu hanyalah hari ‘biasa-biasa’, sedangkan banyak perkara lagi yang perlu kita sedihkan… Banyak perkara lagi yang harus kita fikirkan…

Masuk syurgakah kita?

Diampunkankah dosa-dosa kita?

Mati bagaimanakah kita nantinya?

Apakah amal lebih banyak dari dosa?

KEDUA, kepada golongan yang tidak mahu dan tidak pernah ambil kisah tentang hari lahirnya lantas mengasingkan dirinya dari dunia. Ya, menyambut birthday tidak pernah diajarkan oleh nabi, para sahabat yang diredhai Allah, para pengikut sahabat, salafus soleh…

Tetapi nabi mengajarkan kita tentang akhlak bergaul dengan manusia. Apalah salahnya berterima kasih dan apalah salahnya membalas dengan senyuman dan kata-kata yang baik? Manusia makhluk sosial, dan manusia sentiasa memerlukan jamaah (atau : persatuan, public relation, networking) dalam menjalani hidup di bumi tuhan ini. Berfikir, dan bersikap adillah.

Terima kasih tak terhingga atas ucapan, smiley, post di Facebook berkenaan “selamat hari lahir” yang diberikan pada saya semalamm. Sebagai tanda hormat dan sayang saya kepada semua yang memberi ucapan, telah saya balas dengan ungkapan terima kasih dari hati yang dalam berserta senyuman hangat kepada setiap mereka (a.k.a. smiley). Itu tanda saya menghargai dan gembira dengan perhatian kawan-kawan sekalian. Terima kasih sekali lagi. (^^,)

Tetapi saya lebih menghargai orang yang MENYAMBUNG ucapan-ucapan mereka dengan DOA. Walaupun pendek, saya sangat-sangat terkesan. Dan sebenarnya, itulah ‘hadiah’ yang saya tunggu untuk dapat (jika ada yang mahu memberi) ketika birthday saya. Kata-kata ucapan itu biasa, tetapi yang luar biasa adalah kata-kata doa selepasnya.

“Happy birthday….Semoga….

“Selamat hari lahir….Semoga…

“Met Ultah….Semoga…

Segala ‘semoga-semoga’ selepas dari ucapan selamat itulah yang PALING BERMAKNA DAN BERHARGA buat saya. Dan mungkin saran saya kepada kita semua, perbanyakkanlah doa dalam ‘ucapan-ucapan selamat’ kita. Ianya memberi seribu makna buat si pemberi ucap dan penerima. =)

Sesungguhnya masyarakat dan minda manusia-manusia di zaman lampau sangat hebat dek kerana terdidik dan dibiasakan dengan sikap saling mendoakan antara satu sama lain. Dengan ucapan SALAM. Bayangkan sahaja, “Assalamualaikum” diterjemahkan ke dalam bahasa yang kita faham, dan disuruh untuk kita mengucapkannya pada orang yang kita kenal mahupun tidak kenal, setiap kali kita bertemu!

BERSEDERHANA, DAN DOAKAN ORANG LAIN SEPANJANG MASA!

I’M twentySIX…AND I KNOW IT! So what?? Hehehe~ Peace! (^^,)v

P/s : Kata-kata dan ungkapan doa yang terbaik adalah dari adik. Dan yang kedua terbaik adalah dari ayah. Menitis airmata baca. Huhu…. Dan kedua mereka merupakan yang terawal menghantar SMS malam1 Feburuary. Love your family!=)

Published in: on Februari 2, 2012 at 5:28 am  Comments (4)  

Catatan Syawal : Ujian Tuhan…


SELAMAT HARI RAYA!
Salam sejahtera buat yang membaca, semoga amalan kita semua diterima…

Penghujung Ramadhanku tidak memberangsangkan. Aku kecewa dan sedih tak terkata. Ya, aib jangan dibuka jangan dicerita. Tapi mungkin sebagai iktibar dan nasihat, buat sahabat-sahabatku semua yang mahu ke syurga.

Syurga jalannya tidak mudah. Dan dunia juga tidaklah sentiasa indah dan cerah…

Penghujung Ramadhanku tempoh hari amat memenatkan. Memenatkan minda dan jiwa yang resah. Aku ditimpa musibah, dek kerana kelalaian dan sifat mudah percayakan orang. Akibatnya, diriku tertipu, terduduk menung meratapi kebodohan dan kedunguan diriku. Bodoh kerana terlalu percayakan orang. Bodoh kerana bersangka baik pada orang yang memang berniat menipu. Pahala berganda tidak terkejar, sebaliknya hutang, beban kerja, masalah dengan rakan dan keluarga yang merungsingkan minda.

Semua serba tidak kena. Di luar cuba ketawa di dalam kosong tak bersuara. Seolah-olah seluruh dunia sedang menghukum dan menyiksa diri ini. Hanya aku dan Tuhan, tempat mengadu dan meminta ihsan. Maafkan aku wahai teman, andai diriku menyakitkan dan menyebalkan…

Catatan tidak penting pelepas tekanan, mengharpkan senyum buat meringankan beban. Allahu musta’an…

Published in: on September 19, 2011 at 5:43 pm  Comments (2)  

Lelaki Idaman, Macho Bergaya


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.”

Riwayat Muslim

Bayangkan tangan-tangan macam ni yang pegang dan baca quran. Pergh~

Mukmin yang kuat, lebih disukai Allah

Pasti semua dari kita mahu menjadi mukmin yang kuat. Kalau tak kuat kang malu je lawan musuh masing-masing semput, diarrhea, demam dan sebagainya. Kan tak macho kalau macam tu? Jadi semua dari kita (lelaki), harus mempersiapkan diri dan mental, menjadi mukmin yang kuat, seterusnya menjadi kesukaan Allah!

Kebiasaan lelaki, umur ‘remaja menjelang dewasa’ adalah umur ketika nafsu makan bermaharajalela dan berkuasa! Itu adalah umur membesar dan membina karakter. Metabolism badan akan sangat tinggi, menyebabkan para lelaki lupa mereka dah makan banyak kali! Dan lupa juga mereka telah makan dengan banyak sekali! Kenapa lupa? Kerana mereka cepat lapar!

Jadi apa masalahnya dengan lelaki kuat makan, metabolism tinggi dan cepat lapar ketika umur-umur sebegini?

Tidak ada masalah, cuma BAKAL menjadi masalah 5 atau 10 tahun akan datang. Disaat sang lelaki dan isteri sama-sama ‘mengandung’, membawa ‘beban’ perut ke sana sini. Hehehe~

Usrah saya terdiri dari 9 orang lelaki handsome, macho bergaya dan bijaksana. Tetapi kami ada sedikit masalah dalam mengorbankan selera makan. Walaupun 7 dari kami adalah BAKAL dokter, tetap juga masalah kesihatan menjadi topic yang terpaksa difikirkan bersama. 5 dari 7 ahli usrah saya mempunyai symptom PKD (perut ke depan) dan terlebih BMI, maka naqib kami mengambil inisiatif membuat mutabaah BMI dan fitness, dan satu program khas berbunyi, PROGRAM PERUTKU INDAH!

InsyaAllah lepasni jadi Pria Idaman sahabat-sahabat kita abang Mohsein, abang Zulfahmi, abang Hazim, dan abang Fahmi Sulaiman…

Kepada abang-abang yang sudah berkahwin, abang Khalis, akh Farid (Indonesia) dan akh Galih (Indonesia), tetap aja kalian harus jadi SUAMI IDAMAN BUAT ISTERI, okeh???

Kepada abang Zulhazwan, kita maintain Pria Idaman okeh? Lalala~

"Berani lawan Rugby?=p"

MARI MENJADI MUKMIN GAGAH, KUAT, SIHAT FIZIKAL DAN MENTAL!!!!!

Peace! (^^,)v

P/s: Sengaja aku umumkan ke blog dan facebook, biar menjadi pembakar semangat dan motivasi buat kita kerana sekarang seluruh dunia sudah tahu! Malu kalau tak berjaya beb!!! Hehe~

Published in: on Mei 21, 2011 at 8:14 pm  Comments (4)  

Pengajaran “Dalam Mihrab Cinta”


Dalam kesibukan ‘koas’, ada juga masa terluang yang digunakan untuk bersantai-santai ria menonton wayang. Balik dari membentangkan laporan Family Medicine di Fakulti tadi, Farid (bukan nama sebenar), mengajak menonton filem “Dalam Mihrab Cinta”.

Bukan terprovokasi oleh heroin-heroin filem tersebut mahupun nama tajuk filem, kami berdua melangkah (naik motor farid je pon sebenarnya, haha..) penuh bersemangat ke panggung wayang yang sedikit jauh, memandangkan cerita ini sudah tidak ditayangkan lagi di panggung-panggung berdekatan. Lambat pun lambatlah, janji tengok. Lalala~

Jadi di sini saya dengan sangat lambatnya, ingin menulis tentang review filem DMC. Pengajaran-pengajaran yang boleh diperoleh adalah seperti berikut :

1.  Lelaki yang baik akan menjaga maruah dan kehormatan seorang wanita. Tidak kira bagaimana cara dan situasinya, pandai-pandailah lelaki memikirkan cara untuk mengelak dari mendekati wanita. Kerana mungkin wanita itu ‘kuat’, tapi mungkin juga wanita itu ‘lemah’. Jadi jangan ambil risiko mencairkan hatinya secara tak sengaja. Jaga, jauhi.

2.  Peribadi manusia bermula dari tanggapan dirinya terhadap dirinya sendiri. Kita menentukan siapa kita. Kita menentukan baik buruknya tindakan kita. Kita mahu jadi baik, hati dan iman menjadi raja. Kita tak mahu menjadi baik, nafsu dan syaitan akan memegang takhta.

3.  Peribadi juga terbentuk dari pengaruh dan tanggapan orang lain terhadap diri seseorang manusia. Orang di sekeliling harus baik akhlaknya. Agar percakapan dan pengaruhnya memberi kesan baik pada kita. Kita harus mencari kawan-kawan yang sejahtera. Yang sentiasa positif dan menegur kesalahan kita.

4.  “InsyaAllah, saya akan jadi jahat”. Bunyinya seperti aneh, tapi buat jahat jangan malu mengingat Tuhan. Walaupun sedang membuat kejahatan, sentiasalah berusaha melakukan kebaikan. Biar orang kata dah macam setan, tapi kebaikan-kebaikan tetap harus dilakukan. Sentiasa berusaha membuat kebaikan. Kerna fitrah hati yang ingat tuhan, akan sedar setiap kesalahan. Mungkin akan sampai suatu masa nanti, kita bertaubat daripada segala kejahatan…

5.  Catat segala kejahatan yang dilakukan, tampal atau simpan buat jadi peringatan. Agar sedar hidup ini tidak lama, memaksa diri untuk bertaubat sentiasa.

6.  Jodoh kita ditangan tuhan. Tanpa menafikan usaha dan harapan, biarlah tuhan yang memilih dan mengarahkan perjalanan kisah ‘cinta idaman’.

7.  Hidup tak pernah sepi dari ujian dan dugaan. Kita diuji kerana kita disayangi. Kita diuji kerana kita akan belajar bagaimana cara mengatasi. Kita diuji untuk menghapus dosa dan dinaikkan ke darjat yang lebih tinggi.

8.  Walaupun jodoh sudah di depan mata, tak bermakna dia sudah menjadi milik kita. Dia mungkin mati dalam kemalangan jalan raya, dia mungkin juga terpaksa berpisah dengan kita. Jadi berpada-padalah dalam bercinta. Jangan bercinta sebelum betul-betul memilikinya, kerna kelak kau mungkin akan kecewa dan sedih sengsara…

Semoga ada iktibar dan manfaat.

12.32am,

13 Januari 2011,

Sukagalih, Bandung.

Published in: on Januari 14, 2011 at 1:04 am  Comments (2)  

Siapa paling bahagia?


 

Gambar Hiasan

Di suatu petang…

Seorang petani yang kepenatan menguruskan sawahnya bergurau senda bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah. Tiba-tiba terlihat oleh mereka suatu pasangan suami isteri sedang bergelak ketawa di atas basikal tua. Kata petani pada isterinya,

“Maknya, tengok Pak Leman tu. Seronok diorang ada basikal tua boleh bawak diorang suami isteri jalan-jalan amik angin petang ye? Kalau kita ada juga kan bagus, hmm….”

Pak Leman penat mengayuh isterinya yang berat lebih 10 kg daripada dirinya sendiri. Orang-orang tua kata, isteri gemuk tanda bahagia dan suami pandai jaga. Jadi sebab itulah Pak Leman berbangga. Sedang Pak Leman mengayuh, tiba-tiba Pak Selamat berserta isteri yang membonceng motosikal melintas laju dari belakang mereka. Terselak kain isteri Pak Selamat dek kerana kelajuan motor Pak Selamat itu. Sambil marah di dalam hati, Pak Leman mengomel perlahan…

“Kalau ada motosikal macam mereka kan bagus. Takdela susah-susah nak kayuh basikal tua ni. Laju je nak sampai ke mana-mana. Penat pon tak penat. Hmm…”

Pak Selamat yang sedang memecut laju sambil dipeluk erat si isteri cuba mengelak lopak dan lubang-lubang di jalan yang berisi air lumpur akibat hujan lebat malam semalam. Tiba-tiba datang dari arah berlawanan, sebuah kereta Wira 1.5cc dipandu seorang lelaki segak, melanggar lopak di jalan sekaligus memercikkan kotoran lumpur ke badan Pak Selamat dan isteri. Pak Selamat lantas mengamuk.

“Mentang-mentangla naik kereta, tak kena hujan panas, main langgar je lubang-lubang air yang ada. Kalau aku ada kereta macam tu pasti aku dan isteri tak terkena percikan lumpur ni. Hmm….”

Saiful yang memandu sendirian sekadar memandang cermin pandang belakang untuk menghilangkan rasa bersalahnya. Fikirannya melayang sehinggalah dia memandu keretanya melewati kawasan sawah milik petani tadi. Kelihatan petani itu sedang berlari-lari anak dikejar isterinya. Mungkin dimarahi setelah minta kahwin lagi satu gamaknya. Entah kenapa, tiba-tiba Saiful merasa sedih…

“Kalaulah aku sudah berkahwin, pasti hidupku lebih ceria dan gembira seperti mereka…”

Merenung mencari kekurangan...

PERSOALAN DARI CERITA DI ATAS :

SIAPAKAH YANG PALING BERUNTUNG DAN BERBAHAGIA???

Petani cemburukan Pak Leman berbasikal.

Pak Leman cemburukan Pak Selamat menaiki motor.

Pak Selamat marah, inginkan kereta.

Saiful sedih, inginkan isteri.

Hidup takkan beruntung dan berbahagia, jika anutan dan idola kita adalah keberuntungan dan kebahagiaan orang lain. Hidup akan sentiasa resah dan gelisah.

Sentiasa marah-marah dan berkeluh kesah.

“Kenapa aku begini tapi orang lain begitu?”

“Kenapa asyik aku yang lemah, orang lain tak pernah lemah?

“Kenapa asyik aku yang kalah, orang lain tak pernah kalah?”

“Kenapa aku sering malang, tapi orang lain sering bahagia?”


MERASA TAK CUKUP --> SEDIH --> STRESS!

Berbalik pada cerita di atas, tiada yang lebih malang, tiada yang paling bahagia.

SYUKUR DAN SABAR.

Surah Al-Baqarah 2:45

Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’

Surah Luqman 31:12

Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kebijaksanaan kepada Luqman, yaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

Tanpa Syukur kita gelisah.

Tanpa Sabar kita marah-marah.

Manusia insan tamak. Tamakkan dunia, inginkan segala-galanya. Sedangkan lupa hakikat manusia, hanya menumpang di alam yang fana. Meminta dan sering meminta, tanpa sabar dan syukur pada Yang Esa.

Semua manusia dikawal minda,

Minda yang sihat berlandaskan agama.

Dari kacamata agama, kita memandang dunia!!!

Published in: on Januari 13, 2011 at 6:22 pm  Comments (4)  

Kisah di kedai makan : PERCAYA, Berjaya!


Mak : Bang, nak beli kainla bang, nak buat baju. Takde baju nak gi Indon nanti.

Ayah : Alah, pakai jela baju yang ada tu. Macam tu je pun ok dah tu.

Mak : Nak pegi jalan merata tempat tu memangla pakai macam ni… Orang cakap pasal majlis Convo tu nanti. Abang pakai baju apa nanti? Takkan kemeja biasa je, belila baju baru satu…

Ayah : Tak payah… Banyak baju kat rumah tu, pakai jela mana satu.

Mak : Ish, belila baju baru satu. Takkan nak pakai biasa-biasa je, Erol convo ni bukan selalu. Pakaila baju kemeja lawa sikit ke, baju batik ke…

Ayah takde perasaan mendengar sambil meneruskan makan

Saya : A’a la ayah, apakata ayah pakai baju kemeja dengan blazer. Dengan tie! Baru macho ayah… Haha. Nanti kalau orang tanya ayah jawabla “Bukan selalu, ini anak aku dapat ijazah dokto ni. Bukan senang..”

Ayah termenung, mak senyum memandang ayah

Ayah : Kamu ada blazer lebih?

Mak : Mana ada, dia ada satu tu jela.

Ayah : Eh, haritu ada kawan bagi blazer kan? Ada lagi tak? Boleh pakai lagi tak agaknya?

Mak : Mana boleh, ni dah beso dah ni…(sambil menunjuk salah satu bahagian anatomi manusia)

Ketawa kami pecah.

Selalunya, hanya adik yang ‘mampu mengenakan’ ayah. Adik memang kepala gila, mak ayah tengah marah dia boleh selamba buat lawak. Orang lain takut untuk bergurau dengan ayah, apatah lagi ‘mengenakan’, tapi adik memang otai bab ni. Seronok rasanya dapat kenakan ayah, kalau ayah betul-betul pakai blazer dan tie majlis Convocation nanti mesti TERBAEK! Haha…

Terpancar kegembiraan dan keseronakan mereka untuk menghadiri majlis Convocation nanti. Anak yang mereka bela semenjak 24 tahun yang lalu sudah berjaya melalui satu fasa di dalam kehidupannya.

Hmm, jika difikirkan semula, saya sepatutnya mendapatkan CGPA yang terbaik sebelum saya berhak ‘mengenakan’ ayah untuk menurut kata dan kemahuan saya. Ayah dan mak pasti akan mengikut sahaja, kerana mereka sudah cukup gembira. Walaupun sebenarnya perjuanganku masih belum tamat di Indonesia…

Teringat perbualan dengan ayah suatu ketika dahulu…

“Mak dengan ayah tak dapat nak sambung belajar sampai Universiti. Mak dengan ayah nak anak-anak semuanya masuk Universiti dan berjaya. Kawan-kawan ayah cakap anak melayu susah nak berjaya. Anak-anak Cina India yang selalunya akan berjaya. Tapi ayah tak terima, ayah percaya anak-anak ayah boleh berjaya. Walaupun ayah seorang polis pangkat rendah lepasan SPM je, mak tak bekerja, tapi anak-anak ayah mesti boleh berjaya.”

Alhamdulillah, kini usaha, doa, dan KEPERCAYAAN ayah itu betul-betul nyata.

Percaya akan membentuk prinsip.

Prinsip akan melahirkan usaha.

Usaha akan merealisasikan cita-cita.

Sesungguhnya, cita-cita adalah pemula untuk berjaya.

Dan semua kita, dilahirkan untuk PERCAYA DAN BERJAYA.

Teruskan usaha, kerana MANUSIA…

ADALAH SEBAIK-BAIK MAKHLUK CIPTAANNYA

Published in: on Ogos 1, 2010 at 11:31 pm  Comments (9)  

Aku Bercakap Tentang Cinta – 2


Bismillahirahmanirrahim….

Suatu ketika dahulu, aku menulis [Aku Bercakap Tentang Cinta] kerana ingin berkongsi apa yang ku rasa. Aku tahu ramai yang ingin mencuba, merasa seronok dan asyiknya bercinta di masa remaja. Dan tulisanku itu mengundang airmata diriku, juga airmata sesetengah pembaca.

Saat itu, aku berasa lega.
Sungguh, saat itu aku berasa puas dan lapang dada.

Mungkin airmata menjadi teman ketika hati merasa rindu. Tetapi aku sedar setelah itu bahawa orang yang ku rindu itu bukan milikku.


Akhirnya keputusan diambil. Kami berpisah…

Jagalah dirimu. Hiasilah peribadimu dengan ilmu-ilmu agama. Dekatkanlah dirimu dengan Sang Pencipta. Semoga dengan pengorbanan kita ini, berkorban demi kebahagiaan kedua ibubapa, menghasilkan natijah hubungan yang diredhai seterusnya kelak melahirkan generasi yang diimpikan Nabi. Kita berpisah…

Mungkin inilah yang terbaik. Disunnahkan anak Adam untuk menyempurnakan sebahagian agamanya dengan bernikah. Namun kata Nabi Penghulu Segala Nabi, jika kamu tidak mampu, berpuasalah. Ya, berpuasa. Insan Mulia mengajar kita berpuasa. Di samping berpuasa zahiriah, aku bertekad untuk berpuasa batiniah. Tiada lagi si dia di hati. Cukuplah Allah menjaga, mengambil berat, memberikan kasih saying kepada si dia. Aku dan dia hanya halal setelah pernikahan. Akan tiba suatu masa nanti kita kembali bersatu, di atas tali pernikahan, di atas senyuman restu ayah dan ibu.

-Aku Bercakap Tentang Cinta-

Hari ini, aku tersenyum sendiri…
Baru ku tahu dahulu aku bercinta pada “jodoh yang tidak pasti”.

Wahai remaja,
Jika diriku kau anggap sahabat, terimalah kata-kataku ini sebagai nasihat.
Aku bercakap bukan tunjuk hebat, tetapi berbagi rasa berkongsi yang tersirat.

Janganlah kau mencintai wanita yang bukan isterimu.
Sumpah,larangan Allah itu harus kau tahu!

Janganlah kau mencintai wanita, yang katamu “bakal isterimu” .
Demi Allah, jika dia bukan milikmu kamu pasti takkan bersatu!

Sahabat.
Aku bercakap kerana aku tahu, aku bercakap kerana ini perlu.
Janganlah mencintai “bakal” isterimu, kalau rancangan nikahmu belum tentu.
Janganlah mencintai “sahabat karibmu”, kalau kau tidak melamarnya untukmu.

Kerana sesungguhnya,
DIA murka dengan cintamu itu.

Bayangkan dirimu dimurka tuhan, setiap doamu tidak dilayan.
Bayangkan cintamu dibenci tuhan, jodohmu pasti tidak akan kesampaian.

Jika kau benar mahukan si dia, lamarlah dirinya tanpa alasan.
Jika kau berhalangan untuk berkeluarga, lupakanlah dirinya sibukkanlah dirimu dengan pelajaran.

Dulu aku bercakap tentang cinta, sekarang aku bercakap tentang merancang untuk berkeluarga.
Kerana dahulu ku fikir cinta sambil menjaga boleh membawa ke syurga, tapi sekarang aku mengajak semua bangun dari mimpi dan berusaha sedaya upaya untuk ke syurga!

Berusaha menghalang cinta???
Bukan.
Berusaha mengejar CINTA hanya SELEPAS BERUMAHTANGGA!!!

Published in: on Julai 29, 2010 at 12:09 am  Comments (18)  

Berakhir sudah satu episod…


Alhamdulillah, berakhir sudah satu episod perjuangan. Perjuangan dalam mengejar cita-cita. Walaupun pada hakikatnya cita-cita tidak tercapai sepenuhnya. Hmm….

Mungkin apa yang diperoleh itu lebih baik dari apa yang diharapkan buat diriku ini. Allah berfirman di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah bahawa mungkin sesuatu yang kita suka itu tidak baik untuk kita dan sebaliknya. DIA lebih mengetahui tentang diri kita, dan DIA tahu apa yang terbaik buat kita. Maafkan daku wahai mak, ayah, kerana tidak mencapai target yang sepatutnya dicapai…

Berakhir sudah perjuangan dan pencarian ilmu dan pengalaman di bumi Jatinangor ini. Destinasi mencari ilmu dan pengalaman selepas ini akan bermula di tempat baru, bersama suasana dan persekitaran yang baru. Ini baru berakhir sebuah episod kehidupan. Selepas ini akan bermula episod baru dalam kehidupanku, menjadi co-assistant doctor di Rumah Sakit Hasan Sadikin, Bandung. Dengan penuh harapan dan semangat kesukanan, eh salah, semangat “kedokteran”, insyaAllah perjuangan ini akan tetap diteruskan!!!

Hari pertama di Jatinangor

Bersama rakan-rakan JPA untuk 'salam perantauan'. Hehe..

Tahun kedua di Jatinangor - CIKUDA

Tahun ketiga di Jatinangor - FK Unpad

Tahun keempat (masih berkompang. ish3...)

Bermula dengan urusan borang pendaftaran co-assistant a.k.a. ‘koas’, sehinggalah kepada urusan pindah barang ke rumah baru, diriku sangat teruja dan bersemangat jitu! Semoga ilmu dan pengalaman baru, akan mendekatkan aku pada tuhanku….

Merapatkan aku dengan sunnah rasulku….

Meeratkan hubunganku dengan manusia-manusia di sekelilingku….

Amiiiiin…..

Published in: on Julai 4, 2010 at 1:43 am  Comments (4)  

1957 Hati Malaya


Demam bola menghantui kami yang sudah habis musim exam. Sambil menunggu perlawananan seterusnya kami ‘belajar’ dan ‘menghayati’ suatu ilmu baru. Ilmu poker.

Tiada pertaruhan dibuat tak mengapa - kata mufti CGC.=p

Tiada kena mengena dengan lesen perjudian yang mahu diluluskan oleh Che Det jika beliau masih lagi memimpin kerajaan (kata beliau seperti yang dilaporkan di malaysiakini.com), cuma sekadar menambah ilmu dan bersilaturrahim sesama teman.=)

Alhamdulillah, walaupun tidak semua berjaya kekal sehingga jemaah subuh, 3 daripada 5 orang berjaya hadir mengisi ruang masjid dengan penuh dugaan syaitan dan hasutan kemengantukan. Bak kata orang putih, “ Ngantuk giler kot!” (- Siapa suruh tak tido??? Der!!?)

Tetapi bukan itu yang ingin saya coretkan.

Selepas subuh hati terdetik untuk menonton filem melayu yang diambil dari teman. Mungkin sudah berzaman, tapi saya baru berpeluang menonton kerana tak rajin men’download‘ dan tak cukup juga belanjawan. He he..

Part Time : Pengkritik Filem

1957 HATI MALAYA.

Saya tertarik dengan kisah penceritaan semula sejarah kemerdekaan itu. Sangat menarik!

Mungkin dari sudut pandang seorang sutradara (nak mengarah filem jugakla katakan, huhu…), saya memandang cerita ini penuh iktibar dan semangat pengorbanan. Jalan cerita berjaya disampaikan dengan berkesan oleh pelakon-pelakon mirip Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar dan tokoh-tokoh lain. Semangat perjuangan terasa. Semangat perpaduan tergambar mesra. Semangat kemerdekaan terpancar dalam suasana. Sungguh membekas di jiwa saya.

Walaupun tidak menghayati perjuangan UMNO dan parti perikatan seperti yang diceritakan, saya dapat memahami pengorbanan dan perjuangan mereka selaku bangsa yang mahu merdeka. Bangsa yang mahu berpijak di bumi nyata. Bangsa yang mahu megah tanpa dihina.

Tiada rasa mahu berbangga.

Tiada rasa mahu bermasam muka.

Tiada rasa “akulah yang paling benar” dan sebagainya.

Hanya yang dirasa,

Kemerdekaan harus dicapai dengan segera.

Bebas dari mereka-mereka yang tamak haloba, yang gembira memperkotak katikkan bangsa. Yang menjadi dalang membahagi-bahagi wilayah dan negara.

Akhirnya, tiada lagi semangat agama. Hanya tinggal semangat bangsa dan negara. (Dan atas sebab ini kita melupakan system khalifah, membiarkan saudara-saudara di Gaza diratah…Astaghfirullah)

Ada satu babak di dalam filem ini yang perlu difikirkan bersama….

[Di rumah Sheikh Abdullah Fahim, Kepala Batas Pulau Pinang 1956]

Tokoh-tokoh yang digambarkan sedang meminta pendapat seorang alim ulama bernama Sheikh Fahim tentang tarikh kemerdekaan. (Sheikh Fahim adalah bapa kepada tokoh Ahmad Badawi yang dilakonkan oleh Ikram Dinzly – jadi Sheikh Fahim merujuk kepada datuk PM kelima kita ya kawan-kawan ), beliau berpesan…

“BILA SUDAH MERDEKA, JANGAN PULA ADA PEMIMPIN-PEMIMPIN YANG MENGAUT KEUNTUNGAN DI BELAKANG RAKYAT JELATA”

Jadi pengajaran yang harus diambil dari file mini, buat menghargai perjuangan tokoh negarawan kita dahulu adalah dengan menjadi pemimpin yang jujur dan bijaksana.

Sejarah tercipta untuk dipelajari.

Dan sejarah kita harus kekal jujur dan murni.

Jangan sampai dipalitkan kembali seksa dan keruntuhan jatidiri, hanya kerana ketamakan pemimpin merebut kerusi!

“Jika anda ingin menilai watak seseorang, maka berikanlah beliau KUASA” -Abraham Lincoln

Berfikir dengan benar, bertindak dengan benar!

Published in: on Jun 24, 2010 at 10:17 am  Comments (2)